Thailand puji sistem pendidikan negara

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Kementerian Pelajaran Thailand memuji sistem pendidikan negara ini yang dikatakan lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pelajar serta kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan.

Menterinya, Chinnaworn Boonyakiat berkata, kerjasama yang dijalinkan oleh kedua-dua negara dalam bidang pendidikan telah membawa kepada perubahan positif dari segi pencapaian serta perkembangan minda para pelajar.

“Kerjasama dari Malaysia yang menyediakan peluang pembelajaran kepada pelajar Thailand sama seperti pelajar lain dalam suasana selesa adalah suatu perkara yang amat baik sekali.

“Pihak kami amat menghargai dan berterima kasih dengan peluang yang sungguh besar maknanya kepada pelajar-pelajar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan rasminya ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lawatan tersebut bertujuan untuk beliau melihat sendiri serta beramah mesra bersama 28 pelajar dari wilayah selatan Thailand yang menuntut di sekolah itu.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud; Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan SBP, Norlia Mohd. Shuhaili dan beberapa deligasi dari Thailand.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 180 pelajar lelaki dan perempuan dari wilayah selatan Thailand yang belajar di negara ini.

Selain Gombak, pelajar-pelajar ini turut ditempatkan di SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor dan SMAP Labu di Negeri Sembilan.

Kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian selama enam tahun. Mereka perlu mengikuti kelas peralihan pada tahun pertama sebelum ke tingkatan satu sehingga menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sangat gembira dengan maklum balas daripada kerajaan Thailand yang begitu berpuas hati dengan pencapaian pelajar-pelajar mereka di sekolah ini.

“Kami berharap agar program ini dapat diteruskan dan matlamat kerjasama antara kedua-dua negara akan mampu dicapai,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan sama rata kepada pelajar-pelajar ini seperti pelajar-pelajar tempatan lain termasuklah skim pinjaman buku teks, asrama dan lain-lain.

Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid SBPI Gombak, Aini Md. Jadi pula berkata, program kerajaan kepada kerajaan (G2G) yang dilaksanakan oleh KPM ini adalah satu usaha murni untuk membantu pelajar-pelajar dari selatan Thailand.

“Ia telah dimulakan beberapa tahun dahulu di SMAP Kajang dan Labu. Kumpulan pertama pelajar tersebut kini telah berada di tingkatan tiga sekolah berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, melalui program kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pendidikan ini telah berjaya membawa perubahan positif kepada tahap pendidikan serta sahsiah pelajar berkenaan.

Seorang pelajar Thailand, Amani Samae berkata, dia sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan lain untuk menimba ilmu di negara ini.

“Kami begitu seronok kerana dapat mempelajari banyak ilmu bukan sahaja dalam bidang akademik malahan juga dari aspek-aspek lain seperti pengurus diri, pergaulan serta budaya masyarakat tempatan.

“Tanpa sokongan dan kerjasama dari kedua-dua negara, tentunya kami tidak mempunyai peluang untuk menimba pengalaman belajar di negara orang,” ujarnya yang fasih berbahasa Melayu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s