Dunia Kelawar Di Taman Negara Mulu

Oleh Nurul Halawati Azhari

MULU (Sarawak), 11 Jan (Bernama) — Siang makin ke penghujungnya. Perlahan-lahan suasana di kaki Gunung Mulu menghadap pintu masuk ke Gua Rusa menjadi kelam.

Sungguhpun hari kian gelap bercampur udara sejuk selepas hujan, pengunjung Gua Rusa masih lagi setia berkumpul di kaki gunung. Leka berbual sambil menanti keajaiban Maha Pencipta yang bakal disaksikan seketika waktu lagi.

Senja semakin menguasai, mata dan lensa kamera terus dihalakan ke puncak gunung yang nampak kaku dan sepi. Ketika itulah mata semua pengunjung terpaku sambil bersorak kekaguman apabila melihat bayangan hitam seperti sekumpulan lebah terbang menari-nari keluar dari pintu gua menuju ke tengah hutan.

Akhirnya! Penantian hingga ke penghujung hari memang berbaloi. Berjuta-juta kelawar yang berlindung di dalam gua tersebut terbang keluar mencari makanan. Kawanan kelawar tersebut bergerak dalam kelompok membentuk pelbagai formasi yang menarik di dada langit.

Jika dilihat pada mata kasar, setiap kelompok yang keluar bagaikan sedang mematuhi arahan ketua yang berada di hadapan. Setiap ekor kelawar akan mengikut rentak dan pergerakan yang paling hadapan.

Seketika ia membentuk seakan-akan ular yang menyusur, kemudian menjadi sebaris lurus, sekelip mata pergerakan bertukar dan berputar-putar bagaikan ombak.

KEAJAIBAN KELAWAR

Hakikatnya, kelawar bukanlah jenis haiwan yang hidup secara berkumpulan. Ia mamalia yang bersikap individu tetapi bergerak secara berkumpulan apabila keluar mencari makanan bagi mengelak daripada menjadi habuan pemangsa. Malah mampu terbang sejauh 70 kilometer mencari makanan. Di dalam hutan, ia berpecah mengikut haluan sendiri dan pulang bersendirian ke habitatnya.

Menurut Pemandu Pelancong dari Tropical Adventure, Richard Burong ada juga pengunjung yang dapat menyaksikan pergerakan awal kelawar-kelawar tersebut sebelum ia keluar dari gua. Ia bermula dengan seekor kelawar yang berputar-putar dalam gua, diikuti oleh ribuan yang lain dan saling tolak-menolak untuk memastikan yang lemah berada paling hadapan sehingga membentuk satu pusingan dalam gua.

“Bayangkan suasana di dalam gua tersebut apabila tiga juta kelawar mengeluarkan bunyinya dan terbang serentak. Keadaan tolak-menolak dan saling mengelak dan mengejar itulah yang membentuk formasi yang pelbagai.

“Apabila kumpulan tersebut keluar dari gua, pemangsa khasnya burung helang dan burung hantu telah sedia menunggu untuk menyerang di pintu gua. Dan yang paling lemah akan menjadi habuan si pemangsa”, jelas Richard.

Bagi yang berkesempatan menyaksikan kelawar keluar mencari makanan, ia satu bonus buat mereka. Namun bagi yang tidak berkesempatan menanti hingga jam enam petang, ‘pertunjukan’ kelawar itu bukanlah satu-satunya tarikan buat pengunjung Gua Rusa. Sebaliknya, Gua Rusa turut memiliki tarikan yang tersendiri sebagai tapak khazanah geologi warisan dunia.

Gua Rusa mendapat namanya daripada pemburu-pemburu yang gemar berburu di kawasan sekitar. Suatu ketika dahulu, gua tersebut menjadi tempat singgahan kawanan rusa kerana di dalamnya terdapat air garam yang diperlukan oleh haiwan berkenaan. Kerana itu, ia menjadi tumpuan haiwan tersebut sehingga menarik minat para pemburu.

Bagaimanapun, kerana sering menjadi tumpuan, lama-kelamaan jumlah rusa yang berlindung di gua tersebut berkurangan, namun menurut orang tempatan, khabarnya masih ada rusa yang datang ke situ mencari sumber garam mineral.

TEROWONG GUA BATU KAPUR

Paling istimewa, gua yang menjadi sebahagian daripada Taman Negara Mulu ini turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan kebudayaan PBB (UNESCO) apabila Taman Negara Mulu mendapat pengiktirafan berkenaan pada tahun 2000.

Buat pengunjung yang pernah mempunyai pengalaman memasuki gua, peluang ke Gua Rusa jangan disia-siakan. Gua batu kapur ini memiliki terowong yang besar hingga boleh memuatkan lima buah gereja sebesar Gereja St. Paul di London.

Perjalanan sejauh 3.4 kilometer melalui trek yang disediakan tidaklah sesukar mana apatah lagi ditemani hutan kanopi yang menghijau. Perasaan kagum dan takjub dengan kebesaran ciptaan Tuhan pasti tidak lekang sebaik sahaja memasuki muka gua.

Di kiri dan kanan gua, stalagtit dan stalagmit memenuhi ruang. Malah hasil proses titisan air berkapur yang mengandungi pelbagai mineral terutama kalsium bikarbonat dan memakan masa berpuluh-puluh, ratusan malah jutaan tahun itu telah membentuk kolum yang pelbagai rupa. Malahan fikiran sesekali berimaginasi cuba membayangkan arca-arca yang terhasil daripada kolum yang di antaranya menyerupai objek-objek tertentu.

Di gua ini jugalah pengunjung dapat menyaksikan profil Abraham Lincoln yang terbentuk kesan daripada hakisan semulajadi. Dilihat dari dalam, profil tersebut adalah pintu masuk dari bahagian atas gua yang menjadi pintu keluar buat jutaan kelawar tadi. Proses hakisan daripada tiga biji batu yang besar telah memberi ilusi wajah manusia yang berhidung mancung seolah-olah Presiden Abraham Lincoln!

Buat yang berminat merasai pengalaman ini,terlalu banyak perkara yang dapat dipelajari dan dinikmati hanya di Gua Rusa sahaja. Daripada flora dan fauna hinggalah kepada bentuk muka buminya, ternyata perjalanan jauh yang dilalui amat berbaloi.

PENGANGKUTAN KE GUA RUSA

Bagi yang inginkan perjalanan yang mencabar, gua yang letaknya kira-kira 100 km ke Timur Miri ini boleh dikunjungi dengan menaiki bas atau kereta dari bandar Miri. Kemudian perjalanan diteruskan dengan menaiki bot ekspres menyusuri sungai Baram hingga ke Marudi dan terus ke Long Terawan. Perjalanan kemudian diteruskan dengan menaiki bot panjang selama hampir 45 minit untuk tiba ke Taman Negara Mulu.

Manakala jika mahu tiba secepatnya, MasWing menyediakan perkhidmatan penerbangan tiga kali sehari dari Miri ke Lapangan Terbang Mulu dan mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan.

Bagaimanapun, jika sudah sampai ke Taman Negara Mulu, jangan hanya tertumpu di Gua Rusa sahaja kerana terdapat pelbagai lagi pengalaman menarik yang boleh diterokai di tapak warisan dunia ini seperti Gua Lang, Gua Angin, Gua Air Jerneh, Jambatan Gantung dan aktiviti yang lebih lasak seperti mendaki gunung hingga ke Pinnacle Mulu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s