E-pembelajaran mobil pertama di Malaysia

MOHAMED Salleh Bajuri (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Mohd. Nasir Ali sambil disaksikan oleh Rafli Ridwan (kiri) dan Wahid Hashim pada majlis menandatangani perjanjian bagi membekal kandungan e-pembelajaran SekolahKu antara Duke Court Sdn. Bhd. dan Utusan Melayu (M) Bhd. di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Duke Court Sdn. Bhd. (Duke Court) akan menjalinkan kerjasama dengan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) dalam usahanya membangunkan sistem e-pembelajaran mobil pertama di negara ini yang dikenali sebagai SekolahKu.

Melalui perjanjian itu, Utusan Melayu menerusi Unit Pendidikannya akan membekalkan kandungan berbentuk soalan bagi latihan dan rujukan pelajar sekolah di seluruh negara kepada pemilik SekolahKu, Duke Court.

Pengerusi Duke Court, Datuk Mohamed Salleh Bajuri berkata, sistem e-pembelajaran SekolahKu mampu diakses di mana-mana sahaja menggunakan sebarang peranti yang mempunyai capaian Internet seperti telefon bimbit pintar, iPad dan PSP (PlayStation Portable) selain komputer.

“Kami ingin memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk membantu pelajar di negara ini meningkatkan tahap pencapaian akademik mereka melalui medium yang selesa dibawa ke mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Utusan Melayu dan Duke Court bagi membekalkan kandungan SekolahKu di KL Sentral di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Naib Presiden Kanan Duke Court, Rafli Ridwan dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Menurut Mohamed Salleh, SekolahKu menyediakan pembelajaran interaktif untuk semua subjek teras bagi setiap tahap peperiksaan merangkumi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Soalan-soalan yang terdapat dalam SekolahKu disediakan oleh kumpulan panel jurulatih utama dan guru pakar setiap mata pelajaran yang dilantik oleh Utusan Melayu.

“Selain itu, Utusan Melayu turut akan membekalkan berita berkaitan bidang pendidikan untuk portal SekolahKu,” jelasnya.

Selain itu katanya, Portal Pendidikan Utusan juga akan membantu mempromosikan SekolahKu dengan mengadakan aktiviti berbentuk bengkel di sekolah-sekolah secara berkala.

“Publisiti dan berita berkaitan SekolahKu akan dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia atau sisipan pendidikan, ADaP,” tambahnya.

Sementara itu Rafli Ridwan pula memberitahu, para pelajar juga boleh mengetahui tahap kesediaan untuk menduduki peperiksaan berdasarkan rekod pencapaian dalam setiap latihan yang dilakukan.

“Selain itu, SekolahKu juga mempunyai program kesetiaan dengan beberapa intensif seperti pemberian hadiah dengan menukarkan mata ganjaran berdasarkan markah tertinggi dalam masa terpantas yang diperoleh murid semasa ujian.

“Mata ganjaran tersebut boleh ditukarkan kepada hadiah-hadiah menarik seperti iPad, iPhone dan iPod serta baucar makanan daripada KFC, McDonalds dan Pizza Hut bergantung pada jumlah mata yang dikumpul,” jelas beliau.

Pendaftaran untuk mengikuti sistem pembelajaran serba moden itu boleh dilakukan di http://www.sekolahku.com.my.

Yuran bagi setiap pelajar adalah sebanyak RM150 setahun mengikut tahap peperiksaan yang diambil dan bagi pendaftaran bulan ini, Duke Court menawarkan potongan harga sebanyak RM20.

sumber berita: http://www.utusan.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s