Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

Oleh WAHID HASHIM wahid.hashim@utusan.com.my

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.

Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka – para guru sendiri.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.

Namakan apa sahaja – evolusi, revolusi, penambahbaikan – tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.

Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK – daripada dahulu sehingga sekarang – ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.

Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka – bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik – sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.

Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan – Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.

Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR – juga peperiksaan awam lain – telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar – menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s